NEW DELHI: Seorang wanita di daerah Assam Cachar melahirkan bayi lelaki seberat 5.2 kilogram (kg) sekali gus menjadi bayi paling berat di negeri itu.
Kebiasaan bayi yang lahir di negeri Assam adalah dalam lingkungan 2.5 hingga 3 kg.
Ibu bayi itu, Jaya Das, 27, merupakan penduduk di kawasan Kanakpur di Silchar dan ditahan wad di Hospital Satindra Mohan Dev Civil, 17 Jun lalu.
Menurut Dr. Hanif Md. Afsar, bayi itu dijangka lahir pada 29 Mei lalu, tetapi keluarga itu menangguhkan perjalanan ke hospital disebabkan beberapa masalah yang tidak dielakkan.
“Saya sudah menasihatkannya dari awal supaya ke hospital pada 29 Mei lalu. Dia datang ke hospital semasa sudah sakit hendak beranak.
“Bayi itu dilahirkan dengan kaedah caesar dan disebabkan keadaan cemas, kami terpaksa menahannya di hospital selepas itu,” katanya.
Dr. Hanif berkata, kes tersebut merupakan masalah lambat bersalin dan pihaknya tidak menjangka bayi itu mempunyai berat badan sedemikian.
“Ini adalah kes unik dan kedua-dua ibu dan bayi berada dalam keadaan stabil.
“Bayi seberat 5 kg adalah kes kelahiran yang sangat janggal. Saya berbincang dengan doktor lain dan mereka belum pernah menyambut kelahiran bayi seberat itu,” jelasnya. -AGENSI