Wanita di India tercicir dalam program vaksin - Utusan Malaysia

Wanita di India tercicir dalam program vaksin

PETUGAS kesihatan memberikan suntikan vaksin Covishield kepada warga emas di dalam bas di Kolkata. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW DELHI: Data kerajaan India menunjukkan golongan lelaki lebih ramai menerima suntikan vaksin Covid-19 di negara ini, sekali gus menyebabkan berlaku ketidakseimbangan jantina dalam program imunisasi yang dilakukan. 

CNN melaporkan, India sudah melaksanakan vaksinasi penuh atau satu dos terhadap 101 juta lelaki bersamaan 54 peratus dengan 17 peratus melebihi wanita. 

Ibu negara seperti Delhi dan negeri besar seperti Uttar Pradesh menyaksikan paling banyak ketidaksamarataan tersebut. 

Hanya Kerala dan Chhattisgarh sudah melaksanakan vaksin lebih ramai terhadap golongan wanita berbanding lelaki. 

Data juga menyaksikan penduduk di kawasan bandar menerima suntikan vaksin lebih cepat berbanding ratusan juta rakyat yang tinggal di luar bandar disebabkan oleh dasar yang membantu bandar-bandar kaya membeli lebih banyak dos vaksin.  

Pegawai perubatan di hospital kerajaan Gujarat, Prashant Pandya berkata, pihaknya menyedari perkara itu terutamanya di kawasan bandar dan kampung kerana golongan lelaki perlu melakukan perjalanan jauh untuk ke tempat kerja. 

Sedangkan katanya, golongan wanita hanya menjadi suri rumah tangga. 

Beliau juga tidak menolak mengenai berita palsu yang tersebar dengan mendakwa kononnya vaksin akan mengganggu kitaran haid serta mengurangkan kesuburan menjadi penyumbang kepada data itu. 

“Kerajaan perlu meningkatkan program kesedaran di kawasan kampung bagi memastikan golongan wanita faham kepentingan vaksin dan mengutamakan diri mereka untuk menerima perlindungan,” katanya. 

India mempunyai populasi penduduk seramai 1.3 bilion dengan bilangan lelaki melebihi enam peratus daripada wanita. 

Dasar vaksinasi di India berkembang pantas, tetapi pihak kerajaan menolak cadangan melakukan imunisasi dari pintu ke pintu kerana vaksin hanya dibenarkan untuk penggunaan kecemasan dan penerima perlu dipantau dalam jangka waktu yang singkat sekiranya wujud sebarang komplikasi. 

Sementara itu, terdapat juga alasan lain seperti segelintir wanita di kawasan kampung di Gujarat dan Rajasthan yang menggesa pihak berwajib menghantar vaksin ke pintu rumah mereka. 

Mereka memberikan alasan tidak boleh melakukan perjalanan ke hospital dan meninggalkan anak-anak di rumah. 

Seorang ibu anak empat dari Vadnagar, Gujarat, pula memaklumkan, dia tidak tahu untuk mendaftar vaksin kerana tidak boleh membaca dan menulis. 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya