LONDON: Seorang wanita cedera parah selepas ditimpa sofa yang dicampak oleh dua lelaki dari bumbung sebuah bangunan.
Lapor Metro, kejadian itu berlaku ketika Edita Butkeviciut, 31, berbual dengan teman lelakinya menerusi telefon bimbit di luar premis kecantikan Nailco Nail Bar.
Akibat kejadian itu, Butkeviciut mengalami patah tulang belakang, tulang paha dan buku lali.
Wanita berasal dari Lithuania itu juga perlu menjalani pembedahan dan menghabiskan masa selama tujuh minggu di hospital.
Dalam pada itu, dua tertuduh iaitu Barrie Law, 27 dan Lee Morrison, 33, diarahkan membayar ganti rugi sebanyak 15,000 pound (RM87,966) kepada wanita tersebut.
Kedua-duanya mengaku bersalah namun terlepas hukuman penjara dan memaklumkan, mereka mencampak sofa tersebut kerana ‘gagal mengeluarkannya dari premis’.
Kedua-dua lelaki itu memaklumkan mereka sudah memeriksa kawasan sekitar sebelum mencampak sofa tersebut ke bawah bangunan.