HONG KONG: Satu video yang memaparkan seekor anak babi hutan tersesat dari habibatnya dan menaiki sebuah tren di Hong Kong, menjadi tular di laman media sosial.
Situasi itu menyebabkan orang ramai terkejut dan berasa cemas dengan kehadiran haiwan yang tidak diundang itu.
Kehadiran haiwan itu sempat dirakam oleh seorang penumpang yang menaiki pengangkutan awam tersebut.
Anak babi hutan itu dipercayai sesat sebelum menceroboh stesen Quarry Bay di Hong Kong pada tengahari semalam dan memasuki gerabak tren tersebut.
Rakaman video itu menunjukkan beberapa kakitangan cuba menangkap haiwan tersebut selepas keluar daripada gerabak dengan menggunakan jaring namun gagal sehingga anak babi hutan itu lari memasuki tren kedua yang menuju ke Pelabuhan Victoria.
Menurut pegawai, tren itu kemudian dihentikan di sebuah depot bagi membolehkan anggota dari jabatan perhilitan menangkap haiwan itu dan menghantar kembali ke habitat asalnya. – AFP