Vaksin vs Varian, siapa menang? - Utusan Malaysia

Vaksin vs Varian, siapa menang?

PENDUDUK menerima suntikan vaksin Covid-19 di sebuah pusat vaksinasi di Stadium Gillette di Foxborough, Massachusetts, Amerika Syarikat (AS). - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SINGAPURA: Varian SARS-CoV-2 atau virus yang menyebabkan Covid-19 dilihat melangkah lebih kehadapan berbanding kemajuan kempen vaksinasi yang dilaksanakan di kebanyakan negara.

Situasi itu juga secara tidak langsung mencetuskan kebimbangan besar mengenai kemunculan beberapa varian baharu seolah-olah menandakan pandemik ini tidak akan berakhir.

Pakar saintis di seluruh dunia sedang mengkaji untuk memahami dengan lebih mendalam mengenai cara penularan, kesan kepada kesihatan dan keberkesanan vaksin sedia ada terhadap varian baharu itu.

Menurut Profesor Program Penyakit Berjangkit Baharu di Sekolah Perubatan Duke-NUS Singapura, Dr. Gavin Smith, bukti menunjukkan beberapa mutasi boleh menyebabkan virus merebak lebih mudah manakala mutasi lain pula dikaitkan dengan keberkesanan vaksin dalam mencegah jangkitan.

“Walaupun keberkesanan vaksin agak rendah terhadap varian tertentu, ia masih akan melindungi daripada jangkitan dan kematian.

“Beberapa varian lebih serius seperti B117 yang pertama kali ditemui di United Kingdom (UK) kelihatan sama seperti sebelum ini dari segi kematian,” katanya.

Justeru, ia menjadi cabaran kepada pihak berkuasa kesihatan semua negara untuk mengawal jangkitan varian ini agar program vaksinasi yang dilaksanakan ketika ini berjalan dengan baik.

  • Kawal wabak cegah kemunculan varian baharu

Jelas Smith, mutasi berlaku secara semula jadi ketika sesuatu jangkitan, justeru, virus SARS-CoV-2 yang dikategorikan sebagai varian membimbangkan (VOC) dan varian mempunyai kepentingan (VOI) terce
tus daripada wabak yang tidak terkawal.

“Apabila virus baharu menjangkiti individu tanpa sebarang kekebalan, virus itu mampu merebak secara berleluasa dengan menjangkiti jutaan orang.

“Situasi ini berlaku di banyak negara, malah kita turut menyaksikan kemunculan varian baharu di UK, Afrika Selatan, Brazil serta India apabila negara itu berdepan dengan pandemik yang tidak dapat dikawal.

“Berita baiknya vaksin sedia ada masih berfungsi melawan varian baharu dan berharap agar ia kekal berkesan pada masa akan datang,” katanya.

  • Vaksinasi

Satu-satunya cara pandemik ini boleh berakhir apabila seluruh populasi dunia memiliki tahap kekebalan imuniti terhadap virus SARS-CoV-2.

Hanya dua cara untuk mencapai tahap kekebalan imuniti tersebut iaitu menerusi jangkitan semula jadi atau proses vaksinasi.

Kata Smith, jangkitan semula jadi mempunyai risiko untuk mengalami penyakit teruk sehingga mengakibatkan kematian.

Justeru,katanya, vaksin merupakan peluang terbaik untuk menamatkan pandemik ini.

“Vaksin sangat berkesan untuk mencegah jangkitan, jadi sekiranya individu sudah menerima vaksin dijangkiti, ia akan melindunginya daripada kematian atau mengalami komplikasi teruk dan mengurangkan risiko penularan,” katanya.

Smith berpandangan cara berkesan untuk menghalang kemunculan varian baharu adalah dengan mencegah orang daripada dijangkiti wabak.

“Ketika ini, peluang terbaik untuk mengekang jangkitan dan mengurangkan penularan ini adalah melaksanakan vaksinasi kepada sebanyak mungkin individu dengan segera,” katanya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya