URUGUAY: Data dunia sebenar terhadap kesan vaksin Covid-19 Sinovac Biotech terhadap penduduk negara itu menunjukkan keberkesanan sebanyak 90 peratus mencegah mereka dari ditahan di unit rawatan rapi (ICU) mahupun berdepan risiko kematian.
Kerajan Uruguay berkata, suntikan vaksin itu berupaya mengurangkan kadar kematian sebanyak 95 peratus dan individu yang ditahan di ICU sebanyak 92 peratus.
Katanya, data itu juga menunjukkan 61 peratus keberkesanan menghalang jangkitan wabak Covid-19.
Laporan itu berdasarkan jumlah 795,684 petugas kesihatan dan orang awam berumur 18 hingga 69 tahun yang sudah menerima suntikan kedua vaksin Sinovac dibandingkan dengan individu yang belum menerima suntikan vaksin bagi menentukan keberkesanan vaksin sebenar.
Kajian turut menunjukkan keberkesanan vaksin Pfizer-BioNTech dalam kalangan 162,047 petugas kesihatan dan individu berusia 80 tahun ke atas.
Suntikan vaksin itu berupaya mencegah 94 peratus individu ditahan di ICU serta kes kematian dan mengurangkan kadar jangkitan sebanyak 78 peratus.
Secara keseluruhan, data itu merekodkan penurunan lebih 90 peratus penduduk Uruguay yang ditahan di ICU atau berdepan risiko kematian selepas menerima suntikan vaksin sepenuhnya.