WASHINGTON: Bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump didakwa pernah mempertimbangkan untuk menghantar rakyat negara itu yang dijangkiti wabak Covid-19 ke pusat tahanan di Guantanamo Bay.
Lapor Al Jazeera, sebuah buku baharu mendakwa bekas presiden AS itu pernah bertanya sekiranya pusat tahanan tersebut boleh digunakan untuk menempatkan pesakit Covid-19.
“Bukankah kita mempunyai sebuah pulau… Bagaimana pula dengan Guantanamo ?,”
“AS mengimport barang dan kita tidak akan sesekali import virus,” menurut buku itu yang mendakwa Trump memberitahu kakitangannya di Bilik Kecemasan pada Februari tahun lalu.
Buku itu mendakwa pembantu Trump terkejut dengan pertanyaan bekas presiden itu mengenai Guantanamo Bay dan cuba mengalihkan isu tersebut ketika dibangkitkan semula.
Guantanamo Bay merupakan pusat tahanan di Cuba yang digunakan oleh AS untuk menempatkan individu disyaki melakukan jenayah serius termasuk mereka yang ada kaitan dengan kumpulan pengganas.
Buku berjudul Nightmare Scenario: Inside the Trump Administration’s Response to the Pandemic That Changed History ditulis oleh wartawan Washington Post, Yasmeen Abutaleb dan Damian Paletta.
Buku tersebut memaparkan wawancara dengan bekas penasihat kanan Trump dan pegawai kesihatan yang mengisahkan perkara dibincangkan mengenai pengurusan Covid-19 oleh pentadbiran bekas presiden itu. – AGENSI