LONDON: Seorang lelaki menjadi satu-satunya penghuni di sebuah blok penempatan di Birmingham selepas dia enggan berpindah ke rumah baharu.
Ezekiel Hermon, 46, tinggal di tingkat 11 di sebuah flat di Saxelby House selama 25 tahun, namun dia mula tinggal ‘berseorangan’ di blok tersebut sejak September tahun lalu.
Kira-kira 100 penghuni sudah berpindah dari bangunan setinggi 12 tingkat itu ke rumah baharu selepas blok berkenaan bakal diruntuhkan untuk membina kawasan perumahan mampu milik.
Hermon memberitahu, dia enggan berpindah kerana Majlis Perbandaran Birmingham tidak memberi tawaran menarik yang bersesuaian dengan kemudahan empat anaknya.
“Majlis perbandaran menawarkan saya rumah flat dengan dua bilik, namun itu tidak mencukupi kerana empat anak saya sedang membesar dan mereka memerlukan ruang yang lebih luas.
“Mereka asyik menawarkan perkara sama kepada saya berulang kali dan saya tidak akan menerima tawaran berkenaan,” katanya kepada Daily Mail.
Dalam pada itu, satu petisyen diadakan untuk membantu Hermon memperoleh kediaman yang bersesuaian.
Sehingga kini, lebih 200 orang sudah menandatangani petisyen yang dilakukan secara dalam talian.