JENIN, Palestin: Tiga penduduk Palestin terbunuh awal pagi ini akibat ditembak pasukan khas tentera Israel yang menjalankan misi di utara Tebing Barat.
Seorang daripada penduduk Palestin yang maut itu ditembak akibat melepaskan tembakan ke arah tentera Israel.
Manakala, dua lagi yang terbunuh merupakan anggota keselamatan Pihak Berkuasa Palestin (PA) yang menyaksikan insiden tembakan itu berlaku.
Pihak berkuasa Israel memaklumkan, dua anggota keselamatan PA itu saling berbalas tembakan dengan pasukan tentera sebelum mereka maut terkena peluru.
Tiada kecederaan melibatkan anggota tentera Israel dalam kejadian tersebut.
Pasukan tentera Zionis ketika ini semakin agresif melakukan misi menahan penduduk Palestin di Tebing Barat. – AFP