MADRID: Sekurang-kurangnya tiga orang maut dan dua lagi termasuk seorang kanak-kanak berusia enam tahun hilang, selepas sebuah bot yang dinaiki mereka terbalik di Kepulauan Canary, Sepanyol.
Lapor Al Jazeera, menurut pihak berkuasa, bot yang membawa migran dan pelarian melanggar kawasan berbatu di pantai Lanzarote di kepulauan tersebut.
Dilaporkan, bot tersebut terbalik beberapa meter ketika menghampiri pantai di kampung Orzola pada malam Khamis.
Sebanyak tiga mayat yang terdiri daripada dua lelaki dan seorang wanita, ditemukan.
Pasukan penyelamat berjaya menyelamatkan seramai 41 orang.
Antara yang terselamat adalah 19 wanita dan tujuh kanak-kanak yang merupakan warganegara sub-Sahara.
Pasukan penyelamat sedang mencari dua mangsa yang masih hilang di pantai sekitar wilayah utara Lanzarote di Muelle de Orzola.
Menurut pihak berkuasa, puluhan mangsa yang terselamat termasuk dua bayi dan dua kanak-kanak kecil telah dihantar ke hospital.
Jelas pihak berkuasa, kejadian itu berlaku selepas dua bot lain yang membawa seramai 110 orang tiba di Fuerteventura dan El Hierro, kawasan lain Kepulauan Canary semalam. – AGENSI