BANGKOK: Vaksin Covid-19 keluaran Thailand yang dinamakan ChulaCov19 bakal menjalani ujian percubaan klinikal pertama terhadap manusia pada bulan ini.
Keputusan itu dibuat selepas vaksin tersebut didapati berkesan menerusi beberapa ujian makmal.
Jurucakap kerajaan Thailand, Traisulee Traisoranakul berkata, vaksin yang dibangunkan oleh Dr. Kiat Ruxrungtham dari Universiti Chulalongkorn itu akan diuji terhadap 100 sukarelawan pada bulan ini.
Ujian klinikal itu diharap dapat menentukan penggunaan dos yang bersesuaian untuk digunakan dalam program imunisasi.
Apabila ujian klinikal itu berjaya, fasa pertama vaksin tersebut akan dihasilkan di Amerika Syarikat sebelum syarikat farmaseutikal Thailand, BioNet Asia melakukan pengeluaran besar-besaran pada SEptember ini. – AGENSI