JAKARTA: seorang remaja lelaki berusia 18 tahun terperangkap di dalam saluran pembentung selama enam jam ketika mencari biawak di Ancol, Jakarta Utara semalam.
Ketua Perhubungan Awam Jabatan Bomba Jakarta, Mulat Wijayanyo berkata, remaja lelaki yang dikenali sebagai Vicky itu mencari biawak di saluran pembentung tersebut pada pukul 11 pagi waktu tempatan.
Namun, sehingga petang, Vicky dilaporkan tidak keluar dari pembentung tersebut, menyebabkan orang ramai yang berada di sekitar kawasan itu membuat laporan kepada bomba.
“Sebanyak tujuh anggota dikerah ke lokasi kejadian untuk melakukan operasi mencari serta menyelamat.
“Selepas enam jam terperangkap, akhirnya Vicky berjaya dibawa keluar dari pembantung itu,” katanya kepasa Suara.com.
Jelas Mulat, ketika ditemukan, Vicky berada dalam keadaan lemah dan dibawa ke hospital untuk rawatan.