WASHINGTON: Tentera Amerika Syarikat (AS) mengaku bertanggungjawab atas tindakan membunuh 23 orang awam secara tidak sengaja di zon perang luar negara pada tahun lalu.
Angka kematian yang dilaporkan itu jauh lebih rendah berbanding statistik yang dikemukakan oleh beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Berdasarkan laporan Pentagon, jumlah kematian orang awam itu melibatkan operasi di Iraq, Afghanistan, Somalia, Yemen dan Nigeria.
“Jabatan Pertahanan AS memaklumkan 23 orang awam terbunuh dan kira-kira 10 lagi cedera akibat operasi ketenteraan pada tahun lalu,” jelas dokumen laporan tahunan diperlukan Kongres sejak 2018.
Berdasarkan bahagian umum laporan itu, Pentagon memaklumkan sejumlah besar kes itu berlaku di Afghanistan yang mana AS bertanggungjawab terhadap 20 kematian.
Seorang orang awam terbunuh di Somalia pada Februari tahun lalu manakala seorang lagi di Iraq pada Mac 2020.
Dokumen yang didedahkan kepada umum itu bagaimanapun tidak menyatakan butiran lanjut mengenai kematian mangsa ke-23.
Jelas dokumen tersebut, Kongres memperuntukan sebanyak AS$3 juta (RM12.36 juta) kepada Pentagon pada tahun lalu sebagai pampasan kepada keluarga mangsa yang terbunuh dalam operasi tersebut namun tiada bayaran telah dilakukan.
Sebelum ini, sebuah NGO dikenali sebagai Airwars menyenaraikan orang awam yang maut akibat serangan udara.
Menurut Airwars, kira-kira 102 orang awam terbunuh dalam operasi ketenteraan AS di seluruh dunia.
Jumlah itu lima kali lebih tinggi berbanding statistik rasmi Pentagon. – AFP