LOS ANGELES: Dua rakan baik dari Utah yang gemar mengembara tampil menyumbang wang sendiri sebanyak AS$10,000 (RM41,510) untuk mengadakan aktiviti mencari harta karun bagi menceriakan orang ramai selepas pandemik Covid-19.
Lapor Daily Mail, John Maxim dan David Cline sebelum ini pernah menganjurkan pencarian harta karun pada tahun lalu dengan menanam wang sejumlah AS$5,000 (RM20,756) di kawasan pergunungan Utah untuk membantu memperkasakan komuniti yang terjejas akibat perintah berkurung ketika pandemik.
Cline memberitahu Fox News, pencarian harta karun itu berakhir selepas wang tersebut bersama duit syiling perak dijumpai oleh sebuah keluarga hanya empat hari selepas ia dilancarkan.
Kini, Maxim dan Cline sekali lagi menganjurkan aktiviti mencari harta karun dengan menanam wang sejumlah AS$10,000.
“Kami dapat merasakan semangat komuniti menurun disebabkan orang ramai dihalang daripada melakukan pelbagai perkara akibat sekatan Covid-19.
“Jadi, kami menganjurkan sesuatu yang selamat dan menyeronokkan untuk ‘membebaskan’ mereka dan sambutan amat menggalakkan,” kata Cline.
Jelasnya, mereka akan menggunakan media sosial untuk memberi petunjuk kepada pencari harta karun pada setiap hari Khamis dan Jumaat.
Setakat ini, lebih 1,000 orang termasuk dari Alaska dan Hawaii mengambil bahagian dalam aktiviti pencarian harta karun tersebut. – AGENSI