TAIPEI: Kerajaan Taiwan mengumumkan negaranya akan melanjutkan tempoh sekatan Covid-19 selama dua minggu lagi iaitu sehingga 12 Julai depan.
Menteri Kesihatan, Chen Shih-chung berkata, langkah itu berikutan pandemik Covid-19 di negara itu masih belum reda dan mencapai tahap yang stabil.
Sebelum ini, Taiwan menyaksikan peningkatan kes penularan tempatan sejak bulan lalu selepas beberapa bulan melaksanakan sekatan Covid-19 yang ketat di negara itu.
Sekatan itu sepatutnya berakhir pada 28 Jun ini namun Chen memaklumkan untuk melanjutkannya sehingga bulan depan.
“Walaupun tren keseluruhannya menunjukkan perkembangan sepanjang tempoh ini, ia tidak memenuhi kehendak kami.
“Oleh itu, kami akan melanjutkan sekatan ini sehingga 12 Julai depan agar dapat mencapai tahap yang lebih stabil,” katanya.
Menurut Chen, Taiwan melaporkan sebanyak 104 kes baharu penularan tempatan, meningkat daripada 78 kes Covid-19 semalam. – REUTERS