SEATTLE: Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) memaklumkan lelaki yang dikehendaki di Amerika Syarikat (AS) atas pelbagai kesalahan jenayah seksual terhadap kanak-kanak berjaya diberkas oleh Polis Diraja Malaysia.
Suspek, Scott Barry Uchida, 38, ditangkap di Kepong, Malaysia, kerana melakukan jenayah rogol tahap dua, mempromosi penderaan seksual dan rogol tahap tiga terhadap mangsa kanak-kanak di King County.
Penangkapan itu diumumkan oleh Ejen Khas FBI di Seattle, Donald M. Voiret menerusi kenyataan yang disiarkan dalam laman web rasmi Kerajaan AS.
Pada Januari 2018, Jabatan Polis Kirkland membuka siasatan terhadap kes jenayah eksploitasi seksual, rogol dan pemenjaraan yang tidak sah terhadap tiga mangsa remaja antara 2015 hingga 2018.
Mangsa berusia 15 tahun membuat laporan di jabatan polis itu mengenai dua lelaki yang merogolnya, memaksa melakukan pekerjaan seks dan merekrut orang lain.
“Uchida dikenal pasti sebagai salah seorang suspek dan berkenalan dengan mangsa menerusi aplikasi media sosial meet.me semasa mangsa berusia 12 tahun.
“Suspek membawa mangsa ke apartmen Seattle dan mengugut mangsa serta ahli keluarganya,” katanya.
Susulan itu, Jabatan Polis Kirkland meminta bantuan FBI Seattle mengesan lokasi Uchida yang diperayai sudah melarikan diri ke negara lain.
“Ucapan terima kasih dan penghargaan berhubung kerjasama antarabangsa yang dilakukan.
“Kes ini menandakan kesungguhan FBI dan Jabatan Polis Kirkland untuk mengheret pesalah yang bertanggungjawab mengancam keselamatan masyarakat,” kata Voiret.
Pejabat FBI Seattle turut merakamkan penghargaan kepada PDRM, Jabatan Imigresen Malaysia, Kedutaan AS di Kuala Lumpur yang menyelaraskan penghantaran Uchida untuk dihadapkan ke mahkamah King County. -AGENSI