LONDON: Sepasang suami isteri dari Wales berjaya menawan Rekod Dunia Guinness sebagai pasangan yang mempunyai perbezaan ketinggian paling ketara.
Lapor Daily Mail, pasangan James Lusted, 33, dan Chloe Lusted, 27, memiliki perbezaan ketinggian sebanyak 53.3 sentimeter (cm) .
Dilaporkan, James setinggi 109.2 cm manakala isterinya, Chloe memiliki ketinggian 162.5 cm.
James yang merupakan penyampai televisyen dilahirkan sebagai individu kerdil kerana faktor genetik yang dikenali Diastrophic Dysplasia.
James bertemu dengan Chloe yang merupakan guru menerusi janji temu dan kemudian bercinta sebelum berkahwin pada tahun 2016.
Pasangan itu mempunyai seorang anak perempuan berusia dua tahun yang dinamakan Olivia.
Chloe mengakui pada masa lalu dia gemar dan tertarik lelaki yang lebih tinggi namun semua itu berubah setelah bertemu dengan James.
“Saya harap kisah cinta kami menjadi teladan kepada semua untuk tidak menilai seseorang dari segi luaran.
“Setiap orang mempunyai kisah peribadi masing-masing di sebalik penampilan mereka,” katanya.