OUAGADOUGOU: Sekurang-kurangnya 160 orang terbunuh dalam serangan oleh lelaki bersenjata di sebuah perkampungan di utara Burkina Faso.
Insiden itu merupakan serangan paling buruk negara sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Lapor BBC, pihak berkuasa berkata, beberapa kediaman penduduk dan pasar tempatan terbakar dalam serangan yang berlaku di Solhan pada awal pagi Sabtu.
Setakat ini, tiada kumpulan mengaku bertanggungjawab atas serangan itu.
Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), António Guterres mengutuk sekeras-kerasnya serangan kejam tersebut.
Beliau menggesa komuniti antarabangsa untuk menggandakan sokongan mereka terhadap negara-negara anggota dalam memerangi keganasan melampau yang mengakibatkan kematian yang tinggi.
Semalam, AFP melaporkan pihak berkuasa Solhan menemukan sejumlah 160 mayat dari tiga tapak perkuburan yang besar.
“Penduduk tempatan sendiri mengebumikan mangsa yang maut dalam serangan itu,” kata seorang sumber yang enggan mendedahkan nama.
Jumlah individu terkorban di Solhan meningkat daripada kira-kira 132 kematian yang dilaporkan sebelum ini.
Terdapat kebimbangan angka kematian itu akan meningkat lebih tinggi. – AGENSI