LONDON: Impian untuk semua rakyat England meraikan ‘Hari Kebebasan’ pada 21 Jun ini mungkin terpaksa dilupakan, malah boleh ditangguh sehingga dua minggu akan datang.
Menurut sumber kerajaan Britain, peraturan sekatan itu mungkin akan diteruskan sehingga 5 Julai ini bagi membolehkan ramai rakyat menerima suntikan dos kedua vaksin Covid-19.
Lapor ITV News, jika pelan itu dilaksanakan, hampir kesemua penduduk berusia 50-an di negara ini berpeluang menerima suntikan vaksin dos kedua.
Keputusan itu dibuat selepas kumpulan saintis kerajaan memberi amaran England bakal berdepan dengan ‘risiko besar’ dan membuat ‘keputusan bodoh’ jika semua sekatan Covid-19 dilonggarkan pada 21 Jun ini.
“Saya rasa kerajaan cukup jelas dengan situasi semasa dan bakal berdepan dengan keadaan yang tidak boleh dijangka sekiranya semua sekatan Covid-19 dilonggarkan pada 21 Jun ini.
“Risiko untuk kes jangkitan meningkat secara mendadak amat besar susulan kemunculan varian baharu,” kata ahli Scientific Pandemic Insights Group on Behaviours (Spi-B), Prof. Stephen Reicher.
Spi-B bertanggungjawab menasihati kerajaan berhubung situasi semasa mengenai pandemik Covid-19.
Kes jangkitan Covid meningkat sehingga 70 peratus sepanjang minggu ini dengan semalam sebanyak 5,765 kes direkodkan.
Namun, pihak berkuasa kesihatan England memberi jaminan situasi itu mampu dikawal dengan pemberian vaksin.
Kemunculan varian Covid-19 baharu iaitu Delta yang didakwa berasal dari Nepal dikatakan antara punca kes jangkitan meningkat semula di negara ini.
Dalam pada itu, jurucakap kerajaan Britain memaklumkan tiada sebarang keputusan dibuat sama ada untuk melonggarkan semua sekatan Covid-19 pada 21 Jun ini, biarpun banyak menjangkakan Perdana Menteri Boris Johnson akan menangguhkan langkah tersebut.
“Kami akan terus meneliti data dan bukti saintifik terbaharu untuk memastikan keadaan terus terkawal,” jelas jurucakap tersebut.