LONDON: Lebih sejuta slot suntikan vaksin Covid-19 sudah ditempah dalam tempoh dua hari selepas Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS) membuka program vaksinasi kepada semua golongan dewasa yang belum menerima suntikan vaksin.
Sebanyak 1,008,472 slot temu janji ditempah pada Jumaat dan Sabtu lalu iaitu secara purata lebih 21,000 tempahan dibuat bagi setiap jam atau setiap enam saat.
Sambutan luar biasa itu dipercayai berlaku selepas kumpulan pakar memberi gambaran kerajaan boleh menamatkan semua sekatan Covid-19 pada 5 Julai ini.
Kerajaan Britain sebelum ini melanjutkan sekatan Covid-19 sehingga 19 Julai susulan peningkatan kes akibat varian Delta.
Brendan Wren, pakar virologi di London School of Hygiene and Tropical Medicine berkata, semakin ramai golongan dewasa di United Kingdom (UK) menerima suntikan vaksin, semakin besar peluang untuk negara bebas sekatan Covid-19.
“Jika angka penduduk yang menerima suntikan vaksin semakin bertambah, maka tidak mustahil untuk UK raikan Hari Kebebasan pada 5 Julai ini,” katanya.
Selain itu, Julai juga bakal menyaksikan penduduk Britain yang sudah melengkapkan dos suntikan vaksin boleh bercuti ke negara zon hijau tanpa perlu kuarantin selepas pulang bercuti.
Menurut NHS, sebanyak 62 juta dos vaksin sudah diberikan sejak 8 Disember lalu dengan empat daripada lima dewasa sudah menerima satu dos suntikan vaksin Covid-19.
Sementara itu, ribuan penduduk sanggup beratur selama beberapa jam di dalam hutan bagi mendapatkan suntikan vaksin semalam.
Situasi itu dapat dilihat selepas NHS mengumumkan semua penduduk berusia 18 tahun kini boleh menempah slot suntikan vaksin. – AGENSI