BAITULMUQADDIS: Hampir 120 keluarga Palestin bakal kehilangan tempat tinggal mereka selepas kerajaan Israel bercadang membina taman tema berunsurkan keagamaan di Silwan di Baitulmuqaddis timur.
Kira-kira 1,500 penduduk Palestin tinggal di lebih 100 bangunan di kawasan tersebut.
Pasukan pemeriksa Majlis Perbandaran Baitulmuqaddis diiringi pasukan keselamatan Israel sebelum ini menghantar notis merobohkan rumah dan struktur dalam tempoh 21 hari kepada penduduk Palestin.
Mahkamah Israel memutuskan kesemua bangunan dan rumah di Silwan dibina tanpa permit yang sah dan perlu dirobohkan.
Namun, aktivis sosial dari organisasi Solidariti Jahalin, Angela Godfrey-Goldstein berkata, notis tersebut kebanyakannya tidak sampai kepada penduduk Palestin.
“Mereka tidak menyerahkan notis itu terus kepada penduduk biarpun termaktub di dalamnya bahawa proses merobohkan rumah dan struktur akan dilakukan dalam tempoh 21 hari.
“Notis tersebut boleh ditemukan di atas tanah dan ditiup angin, bukannya betul-betul depan pintu rumah penduduk Palestin,” katanya.
Sehubungan itu, penduduk Palestin hanya mengetahui rumah mereka akan dirobohkan apabila terdengar bunyi jentera berat memecahkan batu. – AGENSI