MONTREAL: Ratusan lagi kubur tidak bertanda ditemukan berhampiran sekolah asrama untuk kanak-kanak Orang Asli di barat Kanada.
Kerja-kerja penggalian di sekitar kawasan sekolah di Marieval, Saskatchewan sudah pun bermula pada hujung Mei lalu.
Sebelum ini, sebanyak 215 rangka kanak-kanak Orang Asli ditemukan di sebuah sekolah asrama di Kamloops, British Columbia.
Dalam satu kenyataan yang dipetik beberapa media tempatan, komuniti Orang Asli Cowessess menzahirkan rasa sedih dan terkejut dengan penemuan baharu tersebut.
Sekolah tersebut menempatkan sejumlah pelajar Orang Asli dari tahun 1899 sehingga 1997 sebelum diruntuhkan dan sekolah biasa dibangunkan.
Kira-kira 150,000 anak Orang Asli Amerika, Metis dan Inuit dimasukkan ke 139 sekolah berasrama di seluruh Kanada, menyaksikan mereka dipisahkan dari keluarga, budaya dan adat sendiri.
Kebanyakan penghuni sekolah berasrama Orang Asli di negara ini menjadi mangsa penderaan seksual, selain lebih 4,000 dilaporkan mati di sekolah. – AFP