JAKARTA: Polis Indonesia menyiasat kematian seorang ahli politik dari Sulawesi selepas beliau menolak projek perlombongan emas dijalankan di kepulauan tersebut.
Terdahulu beberapa kumpulan alam sekitar dan suruhanjaya hak asasi manusia menggesa siasatan rapi dilakukan berhubung kematian Helmud Hontong, 58.
Helmud memegang jawatan sebagai pemangku ketua daerah kepulauan Sangihe di wilayah Sulawesi Utara.
Beliau disahkan meninggal dunia ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Hasanuddin di bandar Makassar pada Rabu lalu.
Helmud dilaporkan dalam keadaan baik sebelum menaiki pesawat dari Bali, namun memberitahu beliau berasa pening kepala, kira-kira 20 minit sejurus berlepas.
Pembantunya, Harmen Kontu berkata, Helmud tidak sedarkan diri dan darah keluar dari hidung serta mulutnya selepas mengadu pening kepala.
Sehubungan itu, jurucakap polis Sulawesi Utara, Jules Abraham Abast memaklumkan siasatan akan dilakukan untuk menyiasat punca kematian Helmud.
Laporan awal bedah siasat menunjukkan tiada tanda-tana helmud diracun dan punca kematiannya mungkin disebabkan oleh penyakit kronik.
Sebelum itu, Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Indonesia, Ahmad Taufan Damanik berkata, beliau menggesa polis melakukan siasatan selepas menerima laporan daripada penduduk tempatan.
Katanya, Helmud membantah projek perlombongan emas seluas 42,000 hektar dijalankan oleh syarikat PT Tambang Mas Sangihe.
Kerajaan pusat pada Januari lalu memberi kebenaran kepada syarikat tersebut untuk menjalankan projek berkenaan. – REUTERS