GAZA: Wartawan Arab Al-Jazeera, Givara Budeiri dibebaskan oleh polis Israel beberapa jam selepas dia ditangkap semasa membuat liputan himpunan di timur Baitulmuqaddis berdekatan Sheikh Jarrah.
Polis Israel mengasari wartawan itu semasa menahannya serta memusnahkan peralatan jurukamera, Nabil Mazzawi.
Penahanan itu menerima kutukan antarabangsa mengenai hak dan kebebasan media.
“Mereka datang dari pelbagai arah dan menendang saya ke dinding.
“Mereka menendang saya di dalam kereta dengan cara paling teruk. Mereka menendang saya dari pelbagai arah,” katanya.
Budeiri membuat liputan mengenai ulang tahun ke-54 al-Naksa iaitu istilah yang digunakan oleh penduduk Palestin terhadap penjajahan Zionis Israel di timur Baitulmuqaddis dan Semenanjung Gaza pada 1967.
Berpuluh-puluh rakyat Palestin tinggal di kawasan dua kejiranan yang berdepan ancaman diusir secara paksa dari rumah mereka.
Dalam perkembangan sama, Persatuan Palang Merah Palestin memaklumkan seramai 23 peserta larian maraton cedera selepas polis Israel melepaskan tembakan gas pemedih mata dan bom tangan.
Ratusan peserta mengambil bahagian dalam acara yang diadakan Jumaat lalu di Sheikh Jarrah dan berakhir di Silwan sejauh 3.5 kilometer.
Sukarelawan itu memakai baju tertera nombor ‘7850’ yang mewakili bilangan aktivis yang berdepan pengusiran secara paksa di bandar itu.
“Anak muda itu hanya menyanyi dan bersorak gembira semasa mereka menyertai maraton itu,” katanya. -AGENSI