MIAMI: Polis memburu tiga individu yang melepaskan tembakan rambang ke arah orang ramai yang hadir ke sebuah konsert di Florida, sehingga mengakibatkan dua terbunuh dan lebih 20 cedera.
Lapor BBC, insiden tembakan itu berlaku pada Ahad lalu di Hialeh, sebuah bandar di utara Miami.
Polis mendedahkan rakaman video kamera litar tertutup (CCTV) berhubung kejadian tersebut.
Polis menawarkan ganjaran sebanyak AS$130,000 (RM536,492) kepada mereka yang membawa kepada penahanan tiga individu yang melarikan diri selepas insiden tembakan itu.
Menurut polis, individu berkenaan menggunakan senapang dan pistol untuk melepaskan tembakan secara rambang ke arah orang ramai yang berada di luar dewan konsert itu.
Insiden itu berlaku antara 12 tengah malam hingga satu pagi (waktu tempatan) di Hialeah, kira-kira 20 kilometer (km) dari Miami.
Setakat ini, tiada penahanan dibuat.
Jelas polis, antara 20 hingga 25 mangsa telah dibawa ke hospital berhampiran.
Sekurang-kurangnya tiga mangsa berada dalam keadaan kritikal, lapor sebuah media tempatan.
Mangsa berusia antara 17 hingga 32 tahun. – AGENSI