ACEH: Palang Merah Indonesia (PMI) menyalurkan bantuan kepada 81 pelarian etnik Rohingya tiba di negara ini selepas bot mereka terdampar di tepi pantai di Simpang Ulim, Aceh Timur pada Jumaat lalu.
Bantuan itu berupa selimut, pelitup muka, pakaian, pakaian perlindungan diri (PPE) dan sarung tangan getah.
Ketua Unit PMI Aceh, Fauzi Husaini berkata, kesemua bantuan tersebut dihantar menggunakan pesawat melalui Lapangan Terbang Halim Perdanakusuma sebelum dibawa ke Aceh Timur.
“Bantuan ini sebagai respons awal PMI selepas menerima laporan mengenai ketibaan pelarian Rohingya tersebut.
“Kami akan terus berhubung dengan pihak berkuasa tempatan untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Berdasarkan maklumat yang diperoleh, 59 daripada 81 pelarian itu merupakan wanita, 22 lelaki dan 11 kanak-kanak.
Kesemua pelarian Rohingya itu berada dalam keadaan baik dan mereka dipercayai terdampar di tepi pantai selepas enjin bot mengalami kerosakan. – AGENSI