Pertemuan canggung Putin dan Biden - Utusan Malaysia

Pertemuan canggung Putin dan Biden

PRESIDEN Amerika Syarikat (AS), Joe Biden bertemu dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin di Villa la Grange di Geneva. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GENEVA: Pertemuan antara Presiden Rusia, Vladimir Putin dan Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden dalam sidang kemuncak yang paling dinantikan berakhir tanpa sebarang hubungan akrab terjalin sesama mereka. 

Sebaliknya, sidang kemuncak pertama Putin dengan presiden AS kelima itu berdasarkan saling hormat-menghormati semata-mata.

Malah, hubungan antara dua pemimpin paling berpengaruh dalam mesyuarat di Geneva itu dikatakan boleh `diramalkan’ sekiranya masih tegang.  

Berbeza dengan pemimpin sebelum ini, Biden tidak mengemukakan sebarang cadangan dalam usaha untuk memulihkan semula hubungan.

Biden dilihat memberi tekanan kepada Rusia berhubung beberapa isu termasuk dakwaan campur tangan pilihan raya, serangan penjenayah siber terhadap Colonial Pipeline dan infrastruktur AS lain serta penahanan pemimpin pembangkang, Alexei Navalny.

Biden pada malam sidang kemuncak menyifatkan pemimpin Rusia itu sebagai `seteru yang layak’ dan pada sidang akhbar pula memberitahu mereka akan melihat kepentingan bersama.        

Sebelum ini, Putin pernah menggelar Biden sebagai pemimpin politik amat berpengalaman yang mampu terlibat dalam perbincangan konstruktif selama lebih tiga jam.

“Biden secara umumnya merupakan seorang yang mahu hubungan konstruktif. Beliau tidak menganggap Putin sebagai kawan.

“Sama seperti pandangan beliau terhadap Presiden China, Xi Jinping, Biden tidak mempercayai mereka tetapi berharap Rusia akan bertindak demi kepentingannya.  

“Kedua-dua negara itu mempunyai beberapa kepentingan bertindih yang mana memerlukan kerjasama,” kata Presiden Kumpulan Eurasia, Ian Bremmer.

Putin tidak membuat sebarang janji pada sidang akhbar berkaitan jenayah siber, kecuali hanya menafikan penglibatan Rusia.

Namun, Biden seolah-olah memberi amaran dengan menegaskan Putin sedar implikasinya atas tindakan Rusia.

Kedua-dua pemimpin itu memaklumkan akan menempatkan semula duta mereka di ibu negara masing-masing dan pegawai diplomat juga akan berusaha untuk membebaskan tahanan.

“Saya tidak pasti sejauh mana ia menuju ke arah baik tetapi ia mampu menjadi lebih teruk,” kata seorang pakar Rusia di Wilson Center’s Kennan Institute, Yuval Weber.

Menurut Weber, Biden dan Putin tidak pernah mengharapkan sebarang pencapaian dalam sidang kemuncak Geneva itu.

“Apa yang mereka lakukan adalah sama ada dapat berkomunikasi baik secara peribadi untuk meneruskan perbincangan tersebut,” kata Weber.

Pertemuan kedua pemimpin ini menjadi detik bersejarah apabila ia merupakan pertemuan pertama sejak Biden dipilih sebagai presiden. 

Kali terakhir Putin mengadakan pertemuan dengan Presiden AS adalah pada tahun 2018 sewaktu Donald Trump mentadbir negara tersebut.  – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya