SYDNEY: Penumpang bagi dua pesawat yang melakukan perjalanan dari Australia dan New Zealand diarahkan menjalani tempoh kuarantin serta menjalani ujian calitan Covid-19.
Arahan itu dikeluarkan selepas pihak berkuasa mengesan pengunjung yang disahkan positif di Sydney selepas pulang dari Wellington.
Insiden yang menyebabkan pertambahan kes Covid-19 di Sydney menyebabkan pihak berkuasa New Zealand melaksanakan semula tempoh kuarantin bagi pengunjung dari New South Wales selama tiga hari bermula tengah malam tadi.
Penerbangan Qantas ke Wellington, Jumaat lalu dan pesawat Air New Zealand ke Sydney, Isnin lalu diletakkan dalam senarai penyebaran virus ‘lokasi panas’ yang ditetapkan oleh pihak berkuasa Australia.
Sebanyak 21 kes jangkitan dikesan sejak enam hari lalu di New South Wales, Australia.
Pemakaian pelitup muka diwajibkan di semua lokasi dalam bangunan di Sydney bagi membendung penularan varian Delta yang diklasifikasikan Pertubuhan Kesihatan Sedunia antara empat varian Covid-19 berbahaya.
Kes membabitkan pengembara menyebabkan pihak kesihatan New Zealand mempertimbangkan untuk melaksanakan perintah berkurung di Wellington.
Australia merekodkan kes keseluruhan Covid-19 sebanyak 30,350 kes dan 910 kematian, manakala, New Zealand hanya mencatatkan 2,300 kes dengan 26 kematian. -REUTERS