LOS ANGELES: Seorang penumpang cuba memasuki kokpit sebuah kapal terbang ketika penerbangan, menyebabkan pesawat Delta Air terpaksa membuat pendaratan kecemasan di Albuquerque di New Mexico.
Pesawat itu dalam perjalanan dari Los Angeles ke Nashville apabila seorang penumpang tiba-tiba cuba merempuh memasuki kokpit namun sempat dihalang oleh beberapa penumpang lain dan anak kapal.
Penumpang itu juga dilaporkan beberapa kali menjerit ‘hentikan pesawat ini’ sambil meronta.
Seorang penumpang memberitahu, lelaki itu tiba-tiba bangun dari tempat duduknya dan bergegas ke kokpit dan cuba membuka pintu dengan menendang.
Dalam pada itu, Delta menerusi satu kenyataan menzahirkan ucapan terima kasih kepada kru kapal dan penumpang yang membantu menahan penumpang terbabit.
“Pesawat Delta berjaya mendarat dengan selamat dan penumpang berkenaan sudah pun ditahan pihak berkuasa,” jelas kenyataan itu.
Kira-kira lima jam selepas insiden tersebut, para penumpang menaiki pesawat lain untuk ke Nashville. – AFP