MIAMI: Seorang penganjur konsert dilaporkan mengenakan harga tiket berdasarkan kriteria vaksinasi Covid-19 bagi peminat yang ingin menghadiri konsert kumpulan Rock, Teenage Bottleneck yang akan berlangsung di Florida pada 26 Jun ini.
Lapor Metro, harga tiket yang dijual kepada individu divaksin adalah AS$18 (RM74.28) manakala peminat yang belum menerima suntikan vaksin Covid-19 pula dikenakan bayaran AS$ 999.99 (RM4,126).
Penganjur konsert, Paul William berkata, pihaknya mengenakan bayaran yang tinggi itu kerana berpandangan individu belum mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 boleh ‘menakutkan sejumlah besar pengunjung lain’.
Pihak penganjur menerusi laman sesawang menetapkan mana-mana individu yang berhasrat menghadiri konsert tersebut perlu mendapatkan dos kedua vaksin Pfizer atau Moderna atau suntikan lengkap vaksin Johnson & Johnson (J&J) terlebih dahulu sebelum 6 Jun.
Jelasnya, sekiranya peminat belum mendapatkan suntikan vaksin lagi namun berhasrat menghadiri konsert tersebut, mereka boleh membeli tiket pada harga RM4,126.
Menurut penganjur, individu yang membeli tiket pada harga RM74.28 perlu menunjukkan bukti dokumen vaksinasi di pintu masuk sebelum memasuki dewan.
Tambahnya, semua kakitangan, sukarelawan ahli kumpulan muzik yang terlibat juga akan menerima vaksin Covid-19 sebelum konsert itu.