SINGAPURA: Purata pendapatan isu rumah kaum Melayu di republik ini adalah sebanyak S$6,851 (RM21,139) pada 2020 berbanding tahun ini iaitu S$5,109 (RM15,764), menunjukkan peningkatan lebih S$1,700 (RM5,245).
Namun, purata pendapatan isu rumah kaum Melayu masih jauh lebih rendah jika dibandingkan dengan kaum Cina iaitu S$10,812 (RM33,361) dan India S$11,688 (RM36,066).
Lapor Berita Mediacorp, data itu diperoleh dari Banci Penduduk 2020 yang didedahkan oleh Jabatan Perangkaan Singapura (DOS) hari ini.
Menurut DOS, purata pendapatan isi rumah kaum Melayu bagi setiap anggota keluarga pada 2020 adalah S$2,003 (RM6,180), menunjukkan pertambahan berbanding banci 2010. iaitu S$1,304 (RM4,023).
Angka tersebut mencerminkan pertumbuhan tahunan nilai sebenar (real terms) sebanyak 3.0 peratus, lebih tinggi berbanding kaum Cina (2.5 peratus) dan India (2.2 peratus).
Namun, dari segi nilai nominal, penduduk Melayu masih jauh ketinggalan di belakang masyarakat Cina dan India.
Secara keseluruhannya, pendapatan isi rumah penduduk Singapura kini lebih tinggi berbanding 10 tahun lalu.
Data itu menunjukkan semua kumpulan etnik utama menyaksikan peningkatan purata dan median pendapatan bulanan isu rumah menerusi pekerjaan antara 2010 dan 2020. – AGENSI