BOGOR: Seorang pendaki terpaksa minum air kencingnya sendiri untuk terus bertahan selepas tersesat selama dua hari di Gunung Geulis, di sini.
Pendaki tersebut yang dikenali sebagai Yogi Sutisna, 40, ditemukan oleh pasukan keselamatan dan penduduk kampung pada Rabu lalu.
Sebelum hilang, Yogi bersama dua rakannya melakukan pendakian pada Isnin lepas pada pukul empat petang.
Namun, selepas setengah jam pendakian, Yogi keletihan dan enggan meneruskan perjalanan.
Lelaki itu kemudiannya turun ke bawah, namun tidak menjumpai laluan asal dan tersesat.
“Selama sesat dua hari, saya hanya bertahan dengan minum air kencing, bekalan makanan dan minuman sudah habis.
“Saya juga bersyukur kerana tidak terserempak dengan binatang buas dan berjaya ditemukan penduduk kampung,” katanya ketika ditemui Tribunnews.
Sementara itu, penduduk kampung memaklumkan Yogi ditemukan dalam keadaan tidak bermaya dan sukar bercakap.