SEOUL: Pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un tampil lebih kurus dalam gambar terbaharu yang disiarkan oleh akhbar negara tersebut pada minggu ini.
Gambar tersebut diambil ketika Jong-un mempengerusikan satu mesyuarat berkaitan ekonomi pada Isnin lalu.
Pemimpin yang didakwa berusia 30-an itu dilihat hilang berat badan di sekitar dagu, dada dan lengannya.
Selain itu, bukti Jong-un semakin kurus juga dapat dilihat menerusi tali jam tangannya yang tidak terlalu ketat berbanding Disember 2020 dan Mac 2021.
Berita itu secara tidak langsung menimbulkan spekulasi mengenai tahap kesihatan Jong-un, iaitu setahun selepas beliau dilaporkan mengalami masalah kesihatan kritikal.
Malah, timbul khabar angin menyatakan beliau sudah meninggal dunia susulan sudah lama tidak membuat penampilan umum pada tahun lalu.
Kumpulan pakar berpendapat, penampilan Jong-un yang lebih kurus ketika ini menunjukkan kesihatannya semakin pulih an beliau sudah bersedia untuk memimpin semula Korea Utara di bawah ‘rejim yang lebih agresif’.
Jong-un sebelum ini dianggarkan mempunyai berat kira-kira 140 kilogram pada November tahun lalu, selain merupakan perokok tegar. – AGENSI