WASHINGTON: Empat suspek lelaki yang membunuh wartawan The Washington Post, Jamal Khashoggi pada 2018, didakwa pernah menerima latihan ketenteran di Amerika Syarikat (AS).
New York Times melaporkan, latihan diberikan melalui kontrak yang diluluskan oleh Jabatan Negara AS.
Berdasarkan laporan daripada satu dokumen, latihan dibekalkan oleh Kumpulan Peringkat 1 yang dimiliki oleh firma ekuiti swasta, Cerberus Capital Management.
Latihan yang dijalani termasuk melakukan tembakan dengan selamat dan mengatasi serangan.
Laporan itu turut mendedahkan pihak berkuasa AS yang meluluskan latihan itu mengetahui penglibatan individu dari Arab Saudi.
Mengulas mengenai perkara itu, jurucakap jabatan tersebut, Ned Price berkata, pihaknya tidak boleh memberi sebarang komen mengenai salah satu aktiviti pelesenan eksport pertahanan berlesen seperti yang disiarkan dalam laporan media.
Katanya, dasar AS terhadap Arab Saudi akan mengutamakan peraturan undang-undang serta menghormati hak asasi manusia.
Khashoggi merupakan pengkritik Putera Mahkota Saudi, Mohammed Salman dan merupakan rakyat AS yang mengunjungi Konsulat Arab Saudi di Istanbul pada Oktober 2018, namun, dibunuh dan mayatnya dikerat ke beberapa bahagian.
Mangsa merupakan wartawan dan penyunting veteran dari Arab Saudi yang berpindah ke AS, menulis artikel yang lantang mengkritik Putera Mahkota apabila dirinya menerima ancaman bunuh pada 2 Oktober 2018.
Wartawan itu diberitahu oleh Duta Arab Saudi di AS supaya mengunjungi Konsulat Saudi di Istanbul sekiranya dia mahu mendapatkan maklumat mengenai perkahwinan putera itu dengan wanita Turki, Hatice Cengiz.
Namun, lelaki berusia 59 tahun itu dibunuh dan mayatnya dihancurkan oleh pasukan khas yang dihantar dari Riyadh menerusi arahan pemimpin teratas kepada Putera Mohammed, Saud al-Qahtani.