LONDON: Seorang pembaca berita lelaki didapati memakai seluar pendek ketika meyampaikan berita di saluran televisyen BBC.
Shaun Ley, 51, mengenakan jaket dan tali leher, namun para penonton menyedari pembaca berita itu hanya memakai seluar pendek.
Insiden itu mendapat perhatian pengguna media sosial dan kebanyakannya membuat andaian tersendiri mengapa Ley memakai seluar pendek ketika membaca berita.
Seorang daripadanya mempersoalkan kenapa penonton perlu menyaksikan gaya penampilan Ley secara langsung.
Ada pula yang menyatakan pembaca berita berusia 51 tahun itu mengenakan seluar pendek kerana London merekodkan suhu tinggi iaitu 28.3 darjah Celsius pada hari kejadian.
Selain itu, segelintir pengguna media sosial berpendapat tindakan Ley itu sebagai melucukan, namun masih profesional dalam menjalankan tugas.
Ini bukan kali pertama Ley mengenakan seluar pendek ketika membaca berita kerana beliau pernah melakukan perkara sama pada penghujung April lalu. – AGENSI