BANGKOK: Seorang lelaki rakyat Australia yang didakwa melakukan serangan seksual terhadap kanak-kanak Myanmar di Thailand ditahan pihak berkuasa di sempadan wilayah Tak.
Menurut Pejabat Imigresen Tak, suspek lelaki itu ditahan selepas enam bulan menjadi buruan polis pada 2 Jun lalu di pekan Mae Sot berhampiran Myanmar.
Suspek dikenal pasti sebagai Adam James Fox.
Operasi memburu suspek dilancarkan selepas Mahkamah Daerah Mae Sot mengeluarkan waran tangkap terhadap Fox untuk menghadiri perbicaraan pada Disember tahun lalu.
Jurucakap imigresen, Suchart Penphu berkata, polis memburu Fox selama enam bulan sebelum dia ditahan di rumahnya.
Polis turut menemukan dadah jenis methamphetamine ketika Fox ditahan, selain beberapa barangan peribadi termasuk telefon bimbit, pasport Australia di bawah nama Guy Christopher Weymouth dan komputer.
Fox sebelum ini ditahan di Mae Sot pada Mac tahun lalu kerana didakwa melakukan serangan seksual terhadap remaja dan kanak-kanak berusia bawah 15 tahun.
Ketika ditahan, polis menemukan dua kanak-kanak lelaki Myanmar dan lima remaja di sebuah rumah yang disewanya.
Selain itu, Fox turut didakwa memasuki dan tinggal di negara ini tanpa kebenaran. – AGENSI