BEIJING: Kakitangan Canon hanya dibenarkan masuk ke pejabat sekiranya mereka senyum selepas sistem kamera teknologi kepintaran buatan (AI) dipasang bagi memastikan pekerja sentiasa positif di tempat kerja.
Lapor Daily Mail, pekerja juga perlu melemparkan senyuman di kamera sekiranya mahu membuat tempahan bilik seminar bagi mesyuarat selepas teknologi ‘pengesanan senyuman’ dipasang.
Tujuannya bagi memastikan pekerja sentiasa tersenyum sekali gus mewujudkan suasana positif di pejabat dan meningkatkan moral pekerja.
Sistem pengurusan ruang bekerja dipasang tahun lalu oleh Canon Information Technology yang merupakan syarikat subsidiari China bagi pembuat kamera Jepun jenama Canon di pejabat Beijing.
Namun begitu, pekerja membuat aduan sistem itu memanipulasi perasaan mereka sekiranya dipaksa untuk senyum setiap kali ingin memasuki pejabat atau menempah bilik.
Seorang pekerja memuat naik hantaran di Weibo dan berkata pihak syarkat bukan sahaja memanipulasi masa tetapi perasaan staf.
Jurucakap Canon China menjelaskan kamera AI akan menggalakkan persekitaran lebih positif di tempat bekerja.
“Kami mahu menggalakkan pekerja berada dalam persekitaran positif dengan menggunakan sistem pengesanan senyum.
“Kebanyakan pekerja malu untuk senyum, tetapi sekali mereka senyum di dalam pejabat, mereka akan kekal tersenyum tanpa sistem sekali gus berupaya mencipta suasana positif dan persekitaran yang baik,” jelasnya.