LONDON: Seorang pemilik butik pengantin berasa kesal dengan sikap orang ramai yang menghina rupa paras patung bersaiz besar yang dipamerkan di kedainya di Minehead.
Lapor Daily Star, Debbie Shelley, 53, mendakwa orang ramai sering mentertawakan dan membuat lawak terhadap patung bersaiz 32 itu di luar tingkap kedainya.
Katanya, patung itu dinamakan sebagai Fuchsia yang diletakkan di butiknya, Somerset Bridal, April lalu.
“Golongan wanita kerap lalu di hadapan kedai saya dan bercakap kepada anak mereka supaya jangan sesekali menjadi gemuk kerana tiada siapa akan berkahwin dengan anda.
“Patung itu kelihatan cantik apabila dipakaikan gaun perkahwinan dan ramai menyangka individu yang memiliki saiz tubuh badan besar tidak boleh memakainya,” katanya.
Disebabkan itu, pemilik kedai meletakkan nota di cermin kaca yang meminta orang ramai menunjukkan tanda cinta dan bukannya membenci walaupun terhadap patung.