LONDON: Seramai 100 bekas pemimpin dunia terdiri daripada presiden, perdana menteri dan menteri luar menggesa negara kumpulan G7 untuk membiayai program vaksinasi Covid-19 global.
Usaha itu bagi membantu memerangi mutasi virus Covid-19 yang mengancam seluruh dunia.
Negara kumpulan G7 terdiri daripada Kanada, Perancis, Jerman, Itali, Jepun, United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS).
Bekas pemimpin dunia membuat gesaan tersebut menjelang Sidang Kemuncak G7 di England yang bermula Jumaat ini dengan Presiden AS, Joe Biden akan bertemu pemimpin dari enam negara.
Dalam satu surat yang dikemukakan kepada G7, bekas pemimpin dunia berkata, kerjasama global adalah gagal tahun lalu, namun mereka yakin 2021 membawa sinar di era baharu.
“Sokongan dari G7 dan G20 yang menjadikan vaksin mudah diakses oleh negara berpendapatan rendah dan sederhana bukanlah satu tindakan amal.
“Sebaliknya, ia dilihat sebagai kepentingan strategik setiap negara,” jelas surat tersebut.
Bekas perdana menteri Britain, Gordon Brown dan Tony Blair, bekas Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban-Ki Moon dan 15 bekas pemimpin Afrika merupakan antara individu yang menandatangani surat berkenaan.
Menurut pemimpin itu, kumpulan G7 dan pemimpin lain yang dijemput menghadiri sidang kemuncak tersebut juga harus memberi jaminan untuk membiayai kira-kira AS$30 bilion (RM123.8 bilion) setahun selama dua tahun bagi menangani pandemik di seluruh dunia.
“Bagi negara G7 membiayai jumlah tersebut bukan dilihat sebagai tindakan amal namun ia merupakan perlindungan diri untuk mengekang virus daripada merebak, mutasi dan mengancam penduduk.
“Kosnya hanyalah AS$0.43 (RM1.80) bagi setiap orang pada setiap minggu di UK, ia merupakan jumlah kecil untuk membayar polisi insurans terbaik di dunia,” kata Brown dalam kenyataan. – REUTERS/Agensi