ZIMBABWE: Pakar bedah plastik dari Afrika Selatan bertungkus lumus mengadakan persediaan untuk membedah semula muka kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun yang diserang dubuk, 2 Mei lalu.
Rodwell Khomazana hilang hidung, mata kiri, hampir semua bahagian bibir atas, dahi dan bahagian lain di wajahnya semasa diserang binatang itu pada waktu malam di luar kawasan gereja.
Doktor di hospital awam berusaha sehabis baik untuk melakukan rekonstruksi wajahnya dan memastikan mangsa berada dalam keadaan stabil, namun, mengakui keurangan sumber untuk membaiki wajahnya yang hancur.
Ibu kanak-kanak itu menghubungi pakar perubatan di negara jiran Afrika Selatan yang bersetuju menjalankan pembedahan secara percuma di hospital swasta Johannesburg disebabkan dia tidak mampu melakukan pembedahan di negara lain.
Pakar Bedah Plastik, Ridwan Mia berkata, dia tidak mampu menolak permintaan apabila wanita itu menceritakan kisah anaknya yang diserang oleh dubuk.
Mia dan pasukan perubatan yang lain akan melakukan pembedahan yang dijangka berlangsung selama 20 jam, esok.
“Kami akan menggunakan tisu daripada bahagian badannya yang lain untuk membina kembali rahang, hidung, mulut dan pipinya.
“Malangnya dia akan mempunyai banyak bekas luka di wajahnya. Apa yang kami harapkan adalah dapat menjalankan prosedur ini dengan meminimumkan kesan parut.
“Kami akui dia tidak akan memiliki wajah yang benar-benar normal tetapi kami ingin memastikan anggota yang ada berfungsi dan dia dapat menikmati perkara yang dilakukan oleh kanak-kanak lain,” katanya.
Rodwell diterbangkan ke Johannesburg dan disambut oleh kakitangan hospital, Sabtu lalu.