NEW YORK: Netflix mengumumkan drama bersiri popular Money Heist akan memasuki musim tayangan kelima yang akan disiarkan September depan.
Drama bersiri itu akan disiarkan dalam dua bahagian dengan bahagian pertama sebanyak lima episod ditayangkan pada 3 September.
Bahagian kedua akan diterbitkan pada 3 Disember iaitu tiga bulan selepas tayangan siri pertama bagi musim kelima dilancarkan.
Terdapat banyak sebab kenapa Netflix menyiarkan Money Heist dalam dua bahagian antaranya adalah disebabkan serangan pandemik Covid-19.
“Penggambaran drama siri itu terganggu akibat pandemik dan menyebabkan masalah utama kepada pasukan produksi,” kata penulis sebuah portal hiburan antarabangsa.
Money Heist merupakan drama bersiri Sepanyol yang ditayangkan kali pertama pada 2017.
Drama itu menceritakan tentang sebuah kes rompakan bank yang dirancang penuh teliti oleh ketuanya, Profesor.
Drama bersiri yang sudah memasuki musim keempat itu memecah rekod apabila berjaya meraih tontonan paling tinggi dalam saluran penstriman berbayar tanpa iklan itu.
Namun, timbul tanda soal sama ada siri kegilaan ramai itu akan berakhir atau akan disambung ke musim seterusnya.