LONDON: Pasport dan lesen memandu milik pedofilia yang disabitkan dengan kesalahan, bakal dilabel dengan tanda amaran `bahaya’ bagi mengelakkan golongan itu daripada bekerja semula dengan kanak-kanak.
Lapor Metro, langkah itu dibuat selepas Ahli Parlimen dari parti Buruh, Sarah Champion menggesa jabatan Imigresen dan Agensi Pelesenan Pemandu dan Kenderaan (DVLA) melabelkan demikian terhadap 100,000 pesalah pedofilia di United Kingdom (UK).
Tindakan tersebut diharap dapat menghalang pesalah pedofilia daripada menukar nama mereka dan mengembara dibawah radar rekod sejarah jenayah ketika memohon untuk bekerja dengan kanak-kanak dibawah umur atau orang dewasa yang berisiko, lapor Mirror.
Undang-undang yang dicadangkan itu akan memberi maklumat kepada pihak berkuasa ketika pesalah pedofilia menukar nama mereka.
“Golongan itu akan cuba mengelak dari dikesan mana-mana pihak dan langkah pelabelan boleh membantu komuniti mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku,” kata Champion.
Peraturan baharu itu diusulkan sebagai pindaan terhadap rang undang-undang sedia ada dan akan dikenali sebagai Undang-Undang Della sempena nama mangsa rogol kanak-kanak, Della Wright yang kini berusia 47 tahun.
Perogol mangsa, Terry Price yang menyerang Della ketika dia berusia enam tahun dilaporkan menukar namanya sebanyak lima kali dalam beberapa dekad lalu.
Di bawah undang-undang sedia ada, pesalah serangan seksual diwajibkan memaklumkan kepada polis mengenai sebarang pertukaran nama atau menghadapi hukuman penjara selama lima tahun.
Bagaimanapun, ramai yang menggunakan identiti baharu tanpa memaklumkan kepada polis dan jarang tertangkap.
Sejak tahun 2016, kira-kira 16,000 pesalah serangan seksual melanggar peraturan itu dan sekurang-kurangnya 900 hilang.