RIO DE JANEIRO: Seorang pelawak yang berpakaian adiwira Superman cuba berlagak hero apabila menahan bas dengan tangannya sehingga menyebabkan dia dilanggar kenderaan itu.
Daily Mail melaporkan, Luiz Ribeiro de Andrade, 35, dilanggar bas di Barra dos Coqueiros yang terletak dalam Majlis Perbandaran Brazil, bulan lalu.
Lelaki itu mengenakan pakaian lengkap Superman berwarna merah dan biru seolah-olah ingin membuktikan dia mempunyai ‘kuasa’ luar biasa.
Rakaman video menunjukkan lelaki itu tetap berkeyakinan berdiri di tengah jalan sambil memegang mikrofon ketika bas memecut laju ke arahnya.
Akibat perlanggaran itu, Luiz tercampak kehadapan, namun, dia masih kekal berdiri dan berkata dia adalah ‘lelaki besi’.
Menerusi satu temu bual, dia menjelaskan kemalangan itu adalah sepenuhnya disebabkan kesalahan dirinya dan tiada kaitan dengan masalah brek bas seperti didakwanya.
“Saya bertanggungjawab atas segala-galannya. Saya pergi ke syarikat bas itu supaya pemandu tidak dikenakan sebarang hukuman.
“Tiada masalah brek. Pemandu itu melakukan apa yang dia mampu dan saya sebenarnya bersalah dan bersyukur tidak mengalami sebarang kecederaan serius,” jelasnya.