BANGKOK: Jumlah pelancong asing yang bakal mengunjungi Thailand pada Julai ini menyusut lebih 50 peratus selepas Pusat Pentadbiran Situasi Ekonomi (CESA) menambah tempoh ‘penginapan’ di Phuket.
Sebelum ini, pelancong yang sudah menerima suntikan vaksin penuh dikecualikan daripada kurantin apabila memasuki Phuket, namun perlu berada di pulau berkenaan selama tujuh hari sebelum pergi ke wilayah lain.
Namun, CESA putuskan untuk menambah tempoh tersebut sebanyak tujuh hari lagi, menyebabkan pelancong perlu menginap di pulau tersebut selama 14 hari sebelum ke wilayah lain.
Menteri pelancongan dan Sukan Thailand, Phiphat Ratchakitprakarn berkata, lebih 50 peratus daripada 29,700 pelancong asing yang akan datang ke Phuket sudah membatalkan rancangan mereka selepas CESA menukar tempoh penginapan tersebut.
Namun, beliau memaklumkan kementerian meminta tempoh sebulan untuk meneliti langkah itu bagi melihat kesan terhadap sektor pelancongan tempatan dan kes jangkitan Covid-19.
“Sekiranya tiada kes jangkitan direkodkan dalam tempoh tersebut, kementerian akan mencadangkan untuk mengurangkan tempoh penginapan kepada tujuh hari di Phuket,” katanya kepada Nation Thailand.
Pihak Berkuasa Pelancongan Thailand sebelum ini memaklumkan pada Julai, dua kumpulan pelancong akan tiba di Phuket iaitu dari Amerika Syarikat dan England.
Pelancong dari negara Asia Tenggara masih belum dibenarkan masuk ke Thailand sehingga situasi Covid-19 reda.