Kondominium Miami runtuh: Angka korban meningkat 3 orang - Utusan Malaysia

Kondominium Miami runtuh: Angka korban meningkat 3 orang

BANGUNAN kondominium 12 tingkat Champlain Towers South di Miami, Florida yang runtuh pada 24 Jun lalu. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

FLORIDA: Nasib 99 penghuni kondominium 12 tingkat yang runtuh di Miami, Florida belum diketahui selepas beberapa belas jam insiden berlaku. 

Kejadian yang mengorbankan tiga penduduk itu berlaku pada pukul 2 pagi (waktu tempatan) atau 2 petang waktu Malaysia, kelmarin. 

Bangunan yang dibina sejak 1980 bersebelahan Pantai Miami itu dikenali sebagai Champlain Towers South yang menempatkan 136 unit kediaman dan dua bangunan lain di kawasan sama, dikenali Champlain Towers North dan Champlain Towers East. 

Bangunan itu didiami sebahagian besarnya oleh penduduk bangsa Yahudi Ortodoks, Argentina, Colombia dan Paraguay. 

Beberapa golongan pendatang dari Amerika Latin juga dilaporkan hilang oleh pihak konsulat. 

Sehingga kini, belum dapat dipastikan jumlah mangsa sebenar yang berada di dalam bangunan semasa runtuhan berlaku, selain punca kejadian belum diketahui

Ketua Jabatan Bomba Miami-Dade, Raide Jadallah berkata, pihaknya bekerja sepanjang masa dan masih giat menjalankan operasi mencari serta menyelamat (SAR) mangsa yang tertimbus dalam runtuhan bangunan itu. 

Katanya, anggota bomba turut melakukan operasi di kawasan garaj bagi mencari mangsa yang terselamat dan dapat mendengar bunyi ketukan di bawah runtuhan.

Jelas Jadallah, berlaku kebakaran kecil semasa usaha menyelamat itu dan api dapat dipadamkan dalam tempoh 20 minit. 

“Kita menggunakan kamera sonar serta anjing pengesan, tetapi ia adalah proses yang agak lambat kerana bimbang risiko lain terjadi sekiranya mengalihkan serpihan runtuhan bangunan,” katanya. 

RUNTUHAN SEPERTI SERANGAN 9/11  

Santo Mejil, 50, berkata, dia terjaga daripada tidur selepas isterinya memanggil dia di tingkat sembilan di salah satu blok Champlain Towers itu. 

“Isteri saya cakap dia terdengar bunyi letupan yang sangat kuat seperti gempa bumi,” ujarnya. 

Sementara itu, seorang lelaki yang bersiar-siar di kawasan itu bersama adiknya terdengar bunyi runtuhan. 

“Kami dengar bunyi sangat kuat dan pada mulanya menyangka ia hanyalah kemalangan motosikal. Selepas toleh ke belakang, kami melihat bangunan kondominium itu sudah runtuh,” katanya. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya