FLORIDA: Sudah memasuki hari keempat operasi mencari dan menyelamat mangsa runtuhan kondominium Champlain Towers South setinggi 12 tingkat di Miami.
Namun, baru empat individu disahkan maut manakala nasib selebihnya seramai 159 penduduk masih menjadi tanda tanya sama ada masih hidup atau sebaliknya.
Situasi itu sekali gus menimbulkan persoalan bagaimana negara maju seperti Amerika Syarikat begitu lambat menjalankan usaha menyelamat sejak kejadian berlaku pada pukul 2 pagi (waktu tempatan) atau 2 petang waktu Malaysia, Khamis lalu.
AS bukannya negara kelas ketiga atau negara mundur yang berdepan masalah kekurangan fasiliti atau pasukan penyelamat.
Runtuhan bangunan yang dibina sejak 1980 bersebelahan Pantai Miami itu mengejutkan seluruh dunia kerana berlaku di sebuah negara maju.
Bangunan yang menempatkan 136 unit kediaman didiami sebahagian besarnya oleh penduduk bangsa Yahudi Ortodoks, Argentina, Colombia dan Paraguay.
Datuk Bandar Miami-Dade, Daniella Lavin Cava berkata, banyak pihak berharap masih ada mangsa yang ditemukan hidup walaupun peluang tipis.
Sehingga kini, punca sebenar kejadian belum dikenal pasti dan didedahkan.
Namun, ‘Laporan Kajian Lapangan Struktur’ 2018 tentang kondominium itu pernah diutarakan oleh seorang jurutera, Frank Morabito yang menandakan ‘kesalahan besar’ sejak bangunan itu dibina.
Jelasnya, terdapat pembinaan saliran yang tidak betul mengalir ke kawasan kolam renang sehingga menyebabkan ‘kerosakan struktur besar’ seperti dilaporkan akhbar The Miami Herald.