SURFSIDE: Sistem kalis air di bawah dek kolam renang kondominium Champlain Towers South di sini pernah dilaporkan tidak dipasang dengan betul yang menyebabkan aliran air tidak boleh dikeluarkan.
Bagi jangka panjang, kegagalan sistem itu menyebabkan kerosakan besar terhadap struktur konkrit dan kelewatan menggantinya dalam tempoh terdekat akan menyebabkan konkrit mengembang dengan lebih cepat.
Keadaan itu secara tidak langsung boleh menjadi antara punca kondominium setinggi 12 tingkat itu runtuh pada awal pagi Khamis lalu.
Sebelum itu, laporan yang dikeluarkan oleh syarikat kejuruteraan Morabito Consultants pada Oktober 2018 menunjukkan kos pembaikan bangunan itu dianggarkan bernilai sekurang-kurangnya AS$9 juta (RM37.4 juta).
Berdasarkan kos anggaran tersebut, pemilik kediaman di kondominium itu perlu membayar AS$80,000 (RM332,118) bagi unit satu bilik tidur dan AS$300,000 (RM1.2 juta) atau lebih bagi unit emper.
Seorang penghuni yang unitnya terselamat, Adalberto Aguero berkata, dia baru sahaja membuat pinjaman untuk menampung pembayaran AS$80,000.
“Saya mahu melunaskan bayaran selepas kerja pembaikan selesai dan enggan melakukannya lebih awal kerana kurang pasti, namun kini saya sudah batalkan pinjaman sehari selepas runtuhan berlaku,” katanya.
Dalam pada itu, pihak pengurusan kondominium mengeluarkan bil terperinci kepada 136 pemilik unit pada April lalu bagi memaklumkan sebahagian besar kerja pembaikan melibatkan kolam renang dan struktur depan bangunan.
Setakat ini, sekurang-kurangnya sembilan maut dan lebih 150 orang hilang dalam insiden tersebut dengan operasi mencari serta menyelamat diteruskan.
Keluarga mangsa masih berharap mereka ditemukan dalam keadaan selamat biarpun peluang tipis memandangkan insiden itu sudah masuk hari keenam. – AP