PERU: Negara ini merekodkan lonjakan kes kematian dua kali ganda akibat wabak Covid-19 dari 69,342 kepada 180,000 kes.
Lapor BBC, berdasarkan data dari Universiti Johns Hopkins, Peru mencatatkan angka kematian paling tinggi di dunia berdasarkan populasi rakyatnya walaupun Brazil menyaksikan jumlah kematian sebanyak 460,000 orang.
Negara jiran seperti Colombia sudah mencecah 88,282 kes dan Bolivia dengan 14,000 kematian.
Sementara itu, Perdana Menteri, Violeta Bermudez berkata, peningkatan angka kematian itu berdasarkan data yang diperoleh daripada pakar tempatan dan antarabangsa.
Katanya, ia sejajar dengan istilah angka kematian berlebihan.
“Kematian berlebihan adalah ukuran seberapa banyak individu yang mati daripada yang dijangkakan berdasarkan data dari beberapa tahun sebelumnya.
“Ini adalah tanggungjawab untuk membekalkan maklumat terkini kepada orang ramai,” katanya.
Peru merupakan antara negara paling teruk dilanda pandemik Covid-19 di Amerika Latin sehingga menjejaskan sistem penjagaan kesihatan dan kekurangan bekalan tangki oksigen.