LONDON: Belum pun pandemik Covid-19 reda, United Kingdom (UK) kini berdepan dengan satu lagi ancaman kesihatan iaitu wabak ‘monkeypox‘ atau jangkitan cacar monyet.
Lapor BBC, terdapat dua kes monkeypox dilaporkan di Wales dan Jabatan Kesihatan Awam Wales (PHW) memaklumkan kes jangkitan dibawa dari luar negara.
“Dua individu yang dijangkiti wabak tersebut tinggal di rumah yang sama dan PHW akan terus memantau keadaan bagi mengelak ia menjadi endemik kepada UK.
“Kedua-dua pesakit itu sudah pun dimasukkan ke hospital untuk rawatan,” jelas jabatan tersebut.
Perunding Perlindungan Kesihatan PHW, Richard Firth berkata, kes positif monkeypox di UK sangat jarang berlaku dan memberi jaminan risiko jangkitan terhadap penduduk awam adalah rendah.
Semalam, Setiausaha Kesihatan UK, Matt Hancock turut mengesahkan mengenai wabak tersebut.
Kebanyakan kes jangkitan cacar monyet berlaku di Afrika dengan gejala seperti demam, keletihan, sakit kepala serta ruam makulopapular bermula di muka kemudian menyebar ke tapak tangan dan tapak kaki, diikuti bahagian tubuh yang lain.
Jangkitan cacar itu akan pulih sendiri antara 14 hingga 21 hari dengan kebanyakan kes tidak berbahaya, namun pernah menyebabkan beberapa kematian di Afrika Barat.