Kerajaan bayangan Myanmar ajak Rohingya tumbangkan junta tentera - Utusan Malaysia

Kerajaan bayangan Myanmar ajak Rohingya tumbangkan junta tentera

SEORANG wanita Rohingya tertidur bersama cucunya selepas merentasi sempadan Myanmar di kem pelarian Kutupalong di Bangladesh pada Ogos 2017. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

YANGON: Kerajaan demokrasi bayangan Myanmar menggesa etnik Rohingya membantu mereka menjatuhkan junta tentera dengan menjanjikan pemberian taraf warganegara dan penerimaan semula di negara ini.

Politik Myanmar semakin bergolak selepas junta tentera melakukan rampasan kuasa pada 1 Februari lalu, menyaksikan Parti Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD) pimpinan Aung San Suu Kyi yang mentadbir kerajaan disingkirkan.

Biarpun Suu Kyi masih ditahan junta, sebahagian daripada ahli politik yang menganggotai NLD mula menubuhkan kerajaan bayangan yang diberi nama Kerajaan Perpaduan Kebangsaan (NUG), dengan misi utama menumbangkan junta tentera.

Junta melabelkan NUG sebagai organisasi pengganas dan mana-mana pihak yang membuat hubungan dengan kumpulan itu akan didakwa di bawah undang-undang keganasan.

“Kami ingin mengajak semua etnik Rohingya bersama-sama kami melakukan kebangkitan revolusi untuk menentang junta tentera,” menurut NUG dalam kenyataan.

NUG juga berjanji untuk memansuhkan undang-undang kewarganegaraan 1982 yang menyisihkan Rohingya, dengan menawarkan kerakyatan untuk semua golongan tersebut.

Selain itu, NUG komited untuk membawa balik semua pelarian Rohingya yang berlindung di kem-kem pelarian di Bangladesh.

Lebih 740,00 etnik Rohingya lari ke negara jiran selepas tentera Myanmar melancarkan operasi kekerasan pada 2017 sehingga Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyifatkannya sebagai penghapusan etnik.

Lebih 600,000 penduduk Rohingya, terutamanya di negeri Rakhine tinggal di negara ini tanpa status kerakyatan, selain dinafikan hak mereka untuk menerima semua faedah sebagai rakyat Myanmar. – AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya